Petaling Jaya: Malaysia sememangnya sebuah negara maritim. Dengan lebih 4,600 kilometer garis pantai, kedudukan strategik di laluan perdagangan antarabangsa serta kekayaan biodiversiti laut yang tinggi, negara memiliki potensi besar untuk muncul sebagai peneraju ekonomi berasaskan lautan di rantau ini. Dalam konteks tersebut, istilah “Ekonomi Biru” kini semakin mendapat perhatian sebagai agenda pembangunan baharu yang bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi, malah memastikan kelestarian sumber marin untuk generasi akan datang.
Secara umumnya, ekonomi biru merujuk kepada penggunaan sumber laut dan marin secara lestari bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan peluang pekerjaan tanpa menjejaskan kesihatan ekosistem laut. Konsep ini menekankan keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.
Hakikatnya, lautan bukan lagi dilihat sekadar sumber perikanan tradisional semata-mata. Laut kini menjadi medan penting kepada pelbagai sektor strategik termasuk akuakultur moden, pelabuhan dan logistik maritim, tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi marin, pelancongan marin serta penyelidikan saintifik.
Malaysia telah mula menterjemahkan agenda ekonomi biru melalui pelbagai dasar nasional seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Dasar Lautan Negara dan agenda Ekonomi MADANI. Langkah ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memanfaatkan potensi maritim negara secara lebih tersusun dan mampan.
Antara fokus utama negara ialah memperkukuh sekuriti makanan menerusi pembangunan akuakultur lestari, memperkasa industri maritim, meningkatkan konservasi biodiversiti laut serta meneroka teknologi baharu berasaskan sumber marin. Pada masa sama, pembangunan ekonomi biru juga dilihat mampu membantu komuniti pesisir meningkatkan taraf hidup melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu.
Namun begitu, pembangunan ekonomi biru tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian oleh kerajaan atau industri semata-mata. Ia memerlukan sokongan institusi pendidikan tinggi dan komuniti penyelidikan yang mampu menyediakan kepakaran saintifik, inovasi teknologi serta pembangunan modal insan.
Dalam konteks ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memainkan peranan yang amat signifikan sebagai universiti peneraju negara dalam bidang sains marin dan sumber akuatik. Kepakaran yang dimiliki UMT menjadikan universiti ini antara institusi paling hampir dengan agenda ekonomi biru negara.
Penubuhan Blue Economy Advancement Centre (BEACON) oleh UMT merupakan langkah strategik yang memperlihatkan komitmen universiti dalam memperkukuh pembangunan ekonomi biru Malaysia. Pusat ini berfungsi sebagai hab penyelidikan, konsultasi dasar, latihan kepakaran dan jaringan kerjasama industri serta antarabangsa.
Selain itu, pelbagai institut penyelidikan di UMT seperti Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) serta Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin (ICAMB) terus aktif menjalankan penyelidikan berkaitan perubahan iklim, biodiversiti marin, konservasi terumbu karang, akuakultur lestari dan teknologi marin.
Peranan UMT juga tidak terhad kepada penyelidikan semata-mata. Universiti ini turut aktif melaksanakan program pemindahan ilmu dan pemerkasaan komuniti pesisir menerusi latihan keusahawanan, konservasi marin, teknologi akuaponik serta pembangunan produk hiliran berasaskan sumber laut. Pendekatan ini secara langsung membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Malah, penyertaan UMT dalam jaringan antarabangsa seperti Global Ocean Accounts Partnership (GOAP) membuktikan kemampuan institusi tempatan untuk bergerak seiring dengan agenda global dalam memperkukuh tadbir urus lautan secara saintifik dan mampan.
Apa yang lebih penting, ekonomi biru bukan sekadar agenda ekonomi, tetapi juga agenda kelangsungan masa depan negara. Laut yang tercemar, eksploitasi sumber secara berlebihan dan perubahan iklim boleh mengancam keselamatan makanan, biodiversiti serta ekonomi komuniti pesisir jika tidak diurus dengan baik.
Justeru, pembangunan ekonomi biru memerlukan keseimbangan antara keuntungan ekonomi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Pendekatan “mengambil secukupnya dan memulihara sebaiknya” perlu menjadi prinsip utama dalam setiap dasar dan pelaksanaan pembangunan marin negara.
Malaysia mempunyai segala kelebihan untuk menjadi kuasa ekonomi biru serantau. Dengan sokongan dasar kerajaan, penglibatan industri serta kekuatan institusi ilmu seperti UMT, agenda ini berpotensi menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara secara lestari dan inklusif.
Sesungguhnya, masa depan Malaysia bukan sahaja terletak di daratan, tetapi juga di lautan yang luas terbentang.
Maklumat Penulis :
Oleh Amirul Salam Hasan
Penulis merupakan pegawai perhubungan awa di Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu



