PESHAWAR – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, termasuk lapan anggota polis dalam serangan pengebom bunuh diri di sebuah persimpangan berhampiran balai polis di daerah Swat, utara Pakistan pada Ahad.
Dalam kejadian itu, seramai 22 individu turut cedera apabila letupan berlaku ketika protes anjuran masyarakat sivil sedang berlangsung di kawasan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Swat, Fida Hussain berkata, penyerang dipercayai cuba memasuki balai polis tersebut namun berjaya dihalang anggota keselamatan di pintu utama sebelum letupan berlaku.
Menurut beliau, setakat ini tiada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Swat yang terletak di wilayah Khyber Pakhtunkhwa merupakan kawasan sempadan Pakistan yang sejak kebelakangan ini berdepan peningkatan aktiviti pemberontakan oleh kumpulan Tehreek-i-Taliban Pakistan (TTP).
Dalam perkembangan berkaitan, empat lagi anggota polis dilaporkan cedera selepas terkena letupan bom buatan sendiri di Peshawar, ibu negeri wilayah berkenaan, dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh TTP.
Pada Jumaat lalu, jurucakap tentera Pakistan memaklumkan serangan militan dan operasi keselamatan sepanjang tahun ini telah mengorbankan 819 anggota keselamatan serta orang awam.
Sebelum ini, Pakistan menuduh kegiatan militan yang berpangkalan di Afghanistan menjadi punca peningkatan keganasan di kawasan sempadannya, namun dakwaan itu dinafikan kerajaan Taliban di Kabul.
Pertikaian tersebut terus mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara, termasuk serangan udara Pakistan yang didakwa menyasarkan kumpulan militan di wilayah Afghanistan.
Kerajaan Taliban dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini melaporkan puluhan orang awam terbunuh dalam serangan terbaharu Pakistan di timur Afghanistan pada Jun lalu. – AFP



