Hutan sebelah IPD Sepang terbakar

Hutan sebelah IPD Sepang terbakar

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Sepang: Kira-kira 2.8 hektar kawasan hutan berbukit bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini, terbakar dalam kejadian pada pagi hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.28 pagi.

Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dengan bantuan BBP Sepang digerakkan ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan kebakaran berkenaan membabitkan hutan berbukit bersebelahan IPD Sepang.

“Kerja-kerja memadam sedang dilakukan dan ketua balai sudah dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 14 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Water Tanker terbabit dalam operasi memadam itu.

Terdahulu, kejadian kebakaran itu tular di media sosial selepas beberapa warganet berkongsi rakaman video dari lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top