LATEST

Aktiviti interaktif di KJH bantu pelajar fahami konsep pelaburan

Aktiviti interaktif di KJH bantu pelajar fahami konsep pelaburan

am@hmetro.com.my

FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Baca juga: KL City ‘sakit’ jumpa Star City

Kuala Lumpur: Pengalaman menyertai Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2026 di Karnival Jom Heboh (KJH) memberi peluang kepada pelajar meneroka ilmu kewangan melalui aktiviti interaktif, sekali gus memahami konsep keperluan, kehendak dan pelaburan secara lebih dekat.

Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Sentul, Lim LK berkata, aktiviti interaktif yang disediakan membantu pelajar memahami konsep kewangan di luar buku teks.

“Aktiviti interaktif yang disediakan membolehkan pelajar mendapat input yang tidak dipelajari dalam buku.

“Harap mereka dapat membawa pulang sesuatu daripada acara ini, terutama mesej mengenai bagaimana meningkatkan literasi kewangan,” katanya ketika ditemui di pentas utama, KJH x MSAM 2026, di Stadium Merdeka, di sini, hari ini.

Menurutnya, seramai 30 pelajar menyertai lawatan itu, terdiri daripada ahli Kelab Pelaburan Bijak PNB serta pelajar aliran ekonomi, perniagaan dan perakaunan bagi memberi pendedahan mengenai dunia sebenar sebelum menamatkan persekolahan.

Sementara itu, guru kaunseling Victoria Institution, Mohd Sodri Talib berkata, lawatan bersama kira-kira 45 pelajar asrama dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat memberi peluang mereka mengenali pelbagai aspek kewangan, termasuk pelaburan dan pengurusan akaun.

Katanya, karnival berkenaan turut menghimpunkan pelajar daripada latar belakang sosioekonomi berbeza, sekali gus membuka ruang untuk mereka mendapatkan pendedahan dan manfaat yang sama.

“Saya lihat suasana di sini sangat meriah dan memberikan banyak manfaat kepada pelajar mengenai pelaburan, pengurusan akaun serta pelbagai faedah yang boleh mereka peroleh.

“Pameran yang disediakan sangat bermanfaat dan memberikan banyak faedah kepada pelajar, khususnya dalam mendedahkan mereka kepada cara mengurus kewangan dengan bijak,” katanya.

Bagi pelajar, Muadz Dzeeqry Idaffi, 16, kunjungan ke MSAM 2026 menjadi pengalaman baharu yang bukan sahaja membuka ruang untuk mengenali pelaburan, malah membolehkannya bergaul dengan pelajar daripada sekolah lain.

Katanya, suasana karnival yang meriah serta kehadiran pelbagai sekolah dari luar kawasan memberi pengalaman berbeza berbanding pembelajaran harian di sekolah.

“Ini kali pertama saya datang ke sini. Saya dapat belajar mengenai pelaburan, termasuk bagaimana kita melaburkan duit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news