LATEST
National

Kemboja hantar pulang 77 warga Indonesia

Kemboja hantar pulang 77 warga Indonesia

PHNOM PENH: Seramai 77 warga Indonesia termasuk enam wanita dihantar pulang pihak berkuasa Kemboja selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian serta melakukan pelbagai kesalahan imigresen dan undang-undang.

Baca juga: Gaji Hodak ikut bajet – FAM

Jabatan Imigresen Am (GDI) dalam kenyataan semalam memaklumkan, penghantaran pulang itu dilakukan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Techo dengan kerjasama Kedutaan Indonesia di Kemboja.

Menurut GDI, mereka terbabit dalam pelbagai kesalahan termasuk tinggal melebihi tempoh dibenarkan, bekerja secara haram, penyalahgunaan dadah terlarang dan operasi penipuan dalam talian.

Operasi itu dilaksanakan menerusi Jabatan Siasatan dan Prosedur GDI di bawah arahan Ketua Pengarahnya, Leftenan Jeneral Sok Veasna dengan kerjasama pegawai diplomatik Indonesia.

Tindakan itu turut menyusuli arahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Sar Sokha serta kempen kerajaan membanteras kegiatan haram dan jenayah siber.

GDI turut memetik pendirian tegas Perdana Menteri, Hun Manet, bahawa Kemboja tidak akan membenarkan penjenayah menggunakan negara itu sebagai pangkalan operasi penipuan atau kegiatan lain yang mengancam keselamatan serantau dan antarabangsa.

Pihak berkuasa berkata, agensi penguat kuasa terus berusaha melumpuhkan rangkaian penipuan dalam talian, menyiasat individu yang disyaki mengetuai operasi berkenaan serta membantu mangsa yang diperdaya atau dieksploitasi kumpulan jenayah.

Penghantaran pulang itu sebahagian usaha berterusan Kemboja menguatkuasakan undang-undang imigresen dan mempergiat tindakan terhadap penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan negara di rantau ini. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news