sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Lima kemenangan bukan alasan DPMM mendabik dada
Kuala Lumpur: Pengendali KL City FC, Datuk Dollah Salleh perlu memikirkan percaturan terbaik selepas kehilangan tiga pemain tonggak untuk berdepan Star City FC di Stadium Tuanku Syed Putra, malam esok.
KL City FC turun menentang pasukan berpangkalan di Utara itu dengan penuh tekanan selepas tumbang dalam tiga aksi terakhir sekali gus kebangkitan amat diperlukan untuk mereka memperbaiki kedudukan dalam liga.
Kedua-dua pasukan tidak dipisahkan terlalu jauh apabila Star City FC berada di tangga kelapan sementara KL City FC di tangga kesembilan di mana kedua-duanya berkongsi enam mata namun dibezakan dengan perbezaan jaringan.
Mereka beraksi tanpa kehadiran kapten, Paulo Josue yang digantung selepas mendapat kad merah pada aksi berdepan Penang FC selain Syafiq Ahmad dan S Sharvin yang turut digantung kerana mengumpul tiga kad kuning.
Dollah mengakui ketiadaan tiga tonggak ini bakal menjadikan tugasan di tempat lawan yang sedia rumit semakin mencabar.
‘Pada situasi sekarang, saya melihat setiap lawan yang kami temui lebih ampuh berbanding kami. Bermain di tempat lawan memang tidak pernah mudah, apatah lagi kali ini tanpa Paulo, Syafiq dan Sharvin.
‘Saya perlu pastikan sesiapa sahaja yang masuk mengisi posisi terbabit adalah pilihan paling tepat. Pemain yang diberi kepercayaan perlu menyahut cabaran dan mengisi ruang yang ditinggalkan ketiga-tiga mereka,” kata Dollah.
Sebagai rekod, tiga perlawanan terakhir menyaksikan KL City FC tumbang 0-3 di tangan Selangor FC disusuli kekalahan 2-3 menentang Melaka FC dan tewas tipis 0-1 kepada Penang FC.
Mereka bakal berdepan cabaran Star City FC di bawah kendalian Mehmet Durakovic yang cukup liat di laman sendiri apabila seri dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir termasuk keputusan seri 2-2 menentang Melaka FC, Sabtu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd