JOHOR BAHRU: Kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 mencerminkan perpaduan dalam kalangan parti komponennya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu merupakan petanda positif yang memperlihatkan hubungan baik antara parti-parti yang terlibat dalam memastikan kerjasama politik terus diperkukuh di Sarawak.
Beliau berkata, keputusan BN untuk tidak meletakkan calon bertanding pada PRN Sarawak dibuat lebih awal sebelum parti-parti lain turut mengumumkan pendirian sama.
“Itu memperlihatkan adanya penyatuan dalam kalangan rakan-rakan parti komponen GPS,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-80 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan kemenangan GPS di 29 kerusi DUN yang dimenangi tanpa bertanding, rekod tertinggi dalam sejarah PRN Sarawak.
Pada 15 November lalu, Ahmad Zahid mengumumkan BN tidak akan meletakkan calon di mana-mana kerusi DUN pada PRN kali ini, selaras persefahaman bersama rakan politiknya di negeri itu.
Beliau turut menyatakan sokongan BN kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), satu daripada empat parti komponen GPS.
SPR menetapkan hari pengundian awal PRN Sarawak ke-13 pada 8 Disember manakala hari pengundian pada 12 Disember depan. – UTUSAN
The post GPS menang 29 kerusi cerminkan kesatuan parti komponen – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.