LATEST

Dadah TUDM: Tangkap mastermind sebenar! Tiada kompromi walau berdepan hukuman mati -Khaled

Dadah TUDM: Tangkap mastermind sebenar! Tiada kompromi walau berdepan hukuman mati -Khaled

Tidak akan berkompromi walaupun berdepan hukuman mati, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedia menyerahkan mana-mana anggota tentera yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah kepada pihak polis.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan isu penyalahgunaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk kegiatan jenayah dadah merupakan perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Baca juga: Rundingan ‘menang-menang’

Lapan anggota tentera ditahan, tiga sudah didakwa

Menurut Khaled dalam satu kenyataan, setakat ini seramai lapan anggota tentera membabitkan enam pegawai dan dua anggota biasa telah ditahan, manakala tiga daripadanya sudah dihadapkan ke mahkamah.

Beliau turut percaya kemungkinan terdapat lebih banyak tangkapan selepas ini berdasarkan perkembangan siasatan pihak polis.

“Saya percaya mungkin akan ada lagi tangkapan-tangkapan yang melibatkan kes ini kita tak tahu sebab polis yang lakukan siasatan, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Karnival Kerjasama Awam-Tentera (Civil-Military Cooperation) atau CIMIC Johor 2026 di Pasir Gudang, Johor.

TUDM bukan dalang, anggota dijadikan alat sindiket

Dalam pada itu, Khaled menjelaskan bahawa sindiket dadah berkenaan bukan didalangi TUDM, sebaliknya beberapa anggota tentera dipercayai dipergunakan bagi menjayakan kegiatan jenayah tersebut.

Justeru, beliau berharap pihak polis dapat memburu dalang sebenar sindiket berkenaan menerusi maklumat yang diperoleh daripada anggota tentera yang ditahan.

“Dia kena faham ini bukan satu sindiket yang TUDM buat dia menjadi alat kepada satu sindiket dan kita berharap supaya pihak polis dapat tangkap mastermind yang sebenar,” katanya.

Foto: Bernama

Khaled turut menzahirkan penghargaan kepada Cawangan Provost Marshal yang berjaya mengesan kegiatan berkenaan sehingga membawa kepada pembongkaran kes tersebut.

21 daripada 7,000 penerbangan dalam tempoh dua tahun

Mengulas mengenai persoalan mengapa kegiatan itu tidak dikesan lebih awal, Khaled menjelaskan dadah berkenaan bukan dibawa dalam satu penerbangan secara sekali gus.

Sebaliknya, kegiatan tersebut dipercayai membabitkan 21 daripada sekitar 7,000 penerbangan dalam tempoh dua tahun, sekali gus menyukarkan pengesanan awal.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan penjelasan tersebut bukan bermaksud mahu mempertahankan mana-mana pihak yang terbabit.

“Atas sebab itulah kita tangkap, serah polis, biar polis siasat. Kita pergi sampai ke lubang cacing,” tegasnya lagi.

Belum tentu terlepas, status perkhidmatan turut diteliti

Khaled turut memaklumkan TUDM telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) susulan pembongkaran kes berkenaan.

Malah, anggota yang tidak dihadapkan ke mahkamah jenayah juga berkemungkinan berdepan siasatan dalaman bagi menentukan sama ada mereka masih layak dikekalkan dalam perkhidmatan.

Beliau menegaskan ketegasan MINDEF dalam perkara tersebut perlu dijadikan amaran kepada seluruh anggota tentera kerana perbuatan seumpama itu bukan sahaja mencemarkan imej pasukan, malah boleh menggagalkan usaha mempertahankan negara.

Latest news