LATEST
Social Media

Bukan sekadar pamer aset tentera, Karnival CIMIC Johor 2026 perkukuh pertahanan negara

Bukan sekadar pamer aset tentera, Karnival CIMIC Johor 2026 perkukuh pertahanan negara

Bukan sekadar mahu memperlihatkan kehebatan anggota tentera menerusi pelbagai aksi ketenteraan, penganjuran Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) Johor 2026 membawa misi lebih besar dalam membentuk masyarakat yang cakna terhadap pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam menjayakan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Baca juga: Isu dadah TUDM: Ini khianat kepada negara dan bahayanya besar! -PM Anwar

Tak perlu angkat senjata, rakyat mesti faham ancaman baharu

Menurut Khaled, pertahanan negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebaliknya turut memerlukan penglibatan masyarakat dalam mendepani pelbagai bentuk ancaman baharu termasuk peperangan hibrid dan siber.

Jelasnya, rakyat tidak semestinya perlu mengangkat senjata untuk mempertahankan negara, namun perlu mempunyai kesedaran, semangat patriotisme dan jati diri yang tinggi.

“Kita tak suruh mereka angkat senjata tapi untuk mereka faham.
“Kalau rakyat itu ada nilai cekal, sayangkan negara, tak mahu mengaku kalah dengan segera, akan buat apa sahaja untuk pastikan kalau ada berlaku apa-apa kepada negara mereka akan menahan, jadi itu satu kekuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival CIMIC Johor 2026 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Pasir Gudang pada Sabtu.

Bukan sekadar nak ‘letup sana, letup sini’

Khaled turut menjelaskan penganjuran karnival berkenaan bukan semata-mata bertujuan mempamerkan keupayaan ketenteraan, sebaliknya menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara ATM dengan masyarakat.

Usaha itu juga penting bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap ancaman keselamatan yang kini tidak lagi terbatas kepada peperangan konvensional.

“Dia lain daripada yang tradisional, jadi rakyat mesti bersedia,” ujarnya lagi.

Berteraskan pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WoGoS), inisiatif tersebut membawa mesej bahawa keselamatan dan kedaulatan negara merupakan tanggungjawab bersama.

Pelbagai aksi ketenteraan, aset dipamerkan

Berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 November 2026, karnival ini merupakan siri kedua tahun ini selepas edisi sulung dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Melaka pada Ogos lalu.

Antara tarikan yang disajikan termasuk pertunjukan penerjunan bebas (Free Fall), Commando Storm, Guns in Action, Army Red Warrior, kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), demonstrasi anjing perang serta lintas hormat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pengunjung juga berpeluang melihat lebih dekat aset ketenteraan termasuk kenderaan berperisai, sistem persenjataan serta merasai pengalaman menerusi simulator penerbangan TUDM.

Lebih menarik, reruai pengambilan anggota ATM turut disediakan bagi memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai peluang kerjaya dalam bidang pertahanan.

Menerusi penganjuran karnival tersebut, MINDEF bukan sahaja mahu mendekatkan dunia ketenteraan dengan masyarakat, malah membentuk rakyat yang lebih cekal, berjiwa patriotik dan bersedia menghadapi sebarang ancaman terhadap kedaulatan negara.

More in Social Media

View all

Latest news