Momen berkenaan mencuri perhatian apabila baginda mengambil tempat sebaris dengan graduan lain pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42, hari ini.
Duduk bersama graduan bukan kesilapan protokol
Tunku Azizah bertitah, tindakan baginda meninggalkan rombongan diraja untuk duduk bersama graduan bukanlah satu kesilapan protokol, sebaliknya menggambarkan dua peranan berbeza yang digalasnya pada majlis tersebut.
Baca juga: “Tidak wajar & tidak beradab” -Asyraf Wajdi tegur hiburan ala konsert di konvokesyen UniKL
“Saya masuk ke dewan ini sebagai Tengku Ampuan Pahang. Saya duduk bersama saudara dan saudari sebagai seorang pelajar.
“Saya melangkah ke pentas ini bersama rakan-rakan graduan dan menerima skrol daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, sama seperti graduan yang lain.
“Kemudian, saya kembali ke tempat duduk saya di atas pentas ini sebagai Ketua Perlembagaan UIAM,” titah baginda.
Jawatan satu amanah, ijazah hasil usaha sendiri
Dalam pada itu, baginda menjelaskan bahawa kedudukan sebagai Ketua Perlembagaan UIAM merupakan amanah yang diberikan kepadanya, namun gelaran sebagai graduan perlu diraih menerusi usaha sendiri.
Sama seperti pelajar lain, baginda juga perlu menghadiri kelas, mendengar kuliah, menyiapkan tugasan serta bertungkus-lumus menulis tesis bagi menamatkan pengajian.
Malah, Tunku Azizah turut berseloroh mengenai tarikh akhir tugasan yang tidak mengenal kedudukan seseorang.
“Dalam majlis rasmi, ada kalanya orang menunggu saya. Sebagai pelajar, saya dapati tarikh akhir tidak menunggu sesiapa!” titah baginda.
Belum boleh ambil transkrip, yuran masih tertunggak
Lebih menarik, baginda turut berseloroh bahawa meskipun pengijazahannya sudah diluluskan oleh Senat universiti, transkrip akademik masih belum boleh diperoleh selagi yuran tertunggak tidak dijelaskan.
“Maka, pada hari yang istimewa ini, saya berdiri di hadapan anda semua sebagai Ketua Perlembagaan universiti ini dan, dengan rasa bangga serta rendah hati, sebagai salah seorang graduannya,” titah baginda.
Untuk rekod, Tunku Azizah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam menerusi kajian bertajuk ‘Hukum Kanun Pahang: Satu Kajian tentang Perlembagaan Melayu-Islam yang Berdaulat’.