sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Bukan protokol tersilap! Tunku Azizah berkenan duduk sebaris graduan, terima ijazah sarjana
Kuala Lumpur: Kelantan Red Warrior (KRW) dijangka terus bergelut dalam saingan Liga Super musim ini susulan sekatan perpindahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus berpotensi menjadi ‘lubuk tiga mata’ untuk pasukan lain.
Hakikat itu diakui oleh pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim yang memberi amaran pasukannya berisiko untuk terus menjadi ‘pasukan belasahan’ selagi isu sekatan perpindahan membabitkan tunggakan hutang lama terus membelenggu mereka.
Irfan Bakti menjelaskan pasukan sebenarnya sudah mempunyai calon pemain import untuk memperkukuh skuad, namun mereka tidak dapat mengikat kontrak selagi pelepasan FIFA belum diperoleh.
“Selagi hutang lama tidak dilunaskan, selagi itulah masalah ini tidak akan selesai. Selagi isu ini berlarutan, kami akan terus menjadi ‘punching bag’ kepada pasukan lain, walaupun adakalanya di gelanggang sendiri kami mampu bermain dengan baik seperti ketika menentang Sabah FC minggu lalu.
“Sudah tentu kalau kita mahu jadi bertambah baik, kita kena ada pemain import. Kami sudah ada pemain import cumanya tidak boleh menandatangani kontrak. Jadi saya harap isu ini dapat diselesaikan,” kata Irfan Bakti.
Terdahulu, KRW terpaksa akur selepas dibelasah DPMM FC 0-5 pada aksi di Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah sekali gus merakam kekalahan ketujuh daripada lapan perlawanan dan menghuni dasar liga.
Mengulas kekalahan besar itu, beliau menyifatkan separuh masa pertama sebagai detik paling pincang apabila KRW memberi terlalu banyak ruang kepada lawan serta berdepan situasi penalti dan kad merah.
“Dengan kekurangan seorang pemain, ia sedikit sebanyak menjejaskan corak permainan kami dan saya perlu bersikap realistik dengan barisan pemain tempatan yang ada berbanding pihak lawan yang memiliki enam hingga lapan pemain import, justeru amat sukar untuk kami mengatasi keadaan itu.
“Ditambah pula dengan sepakan penalti dan layangan kad merah, sudah tentu sukar untuk pasukan bangkit walaupun pada separuh masa kedua kami berjaya memperbaiki prestasi dengan hanya melepaskan satu jaringan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd