LIPIS: Seorang wanita warga emas maut manakala dua anaknya dikejarkan ke hospital selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Utama Kampung Berchang, di sini, malam tadi.
Baca juga: Banjir kilat di Manjoi terburuk dalam tempoh lebih sedekad – Penduduk
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 9.56 malam.
Katanya, pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis digerakkan ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan kami mendapati sebuah kereta terhumban ke dalam gaung. Mangsa berusia 66 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Dua lagi mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang maut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu anak perempuan mangsa berusia 29 tahun turut dinaiki abangnya berusia 31 tahun.
Katanya, kereta itu dalam perjalanan dari Tumpat, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas melanggar tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu kereta mengalami kecederaan ringan, manakala penumpang belakang berusia 31 tahun mengalami patah pinggul.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd