JKKP Selangor beri notis larangan susulan 2 pekerja am maut dihempap struktur kren

JKKP Selangor beri notis larangan susulan 2 pekerja am maut dihempap struktur kren

am@hmetro.com.my

Kuala Langat: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengeluarkan notis larangan di sebuah tapak pembinaan kilang di daerah ini susulan kemalangan maut membabitkan dua pekerja warga asing, 28 Julai lalu.

Pejabat Pengarah JKKP Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, ia termasuk notis kegagalan menjalankan pentaksiran risiko untuk kerja-kerja konkrit menggunakan kren bergerak, kegagalan mengadakan Pelan Kerja Mengangkat (Lifting Plan) bagi operasi kren, dan gagal melantik Penyelia Keselamatan Tapak (Site Safety Supervisor).

Dalam kejadian pada 5 petang itu, dua pekerja am masing-masing berusia 40 dan 44 tahun meninggal dunia selepas dihempap struktur kren yang tumbang.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kerja menurunkan baldi konkrit (bucket concrete) yang dianggarkan seberat 400 kilogram (kg) dengan menggunakan sebuah kren bergerak (mobile crane).

“Kren terbabit dipercayai terjungkit berpunca daripada panjang boom yang dibuka melebihi jarak sepatutnya,” katanya hari ini.

JKKP Selangor berkata, ketika kejadian juga kedua pekerja berada di kawasan bawah boom dan dihempap strukturnya yang tumbang.

Menurutnya, mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala yang tersepit di antara struktur beam dan ‘fly jib boom’.

Mayat mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat.

“Susulan daripada kejadian, sepasukan pegawai penyiasat diarahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. Hasil pemeriksaan teknikal mendapati terdapat kerosakan fizikal pada struktur fly jib boom kren berkenaan.

“Siasatan lanjut turut mendapati tapak projek berkenaan tidak berdaftar dengan JKKP, selain pihak kontraktor utama dan subkontraktor gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top