mohdsyazwan@hmetro.com.my
Jakarta: Lautan penyokong Indonesia yang bakal memenuhi Stadium Gelora Bung Karno (GBK) tidak cukup untuk menggoyahkan keyakinan penyerang Harimau Malaya, Fergus Tierney yang mahu memastikan setiap peluang diberikan kepadanya diterjemahkan kepada gol.
Fergus menegaskan pemain Harimau Malaya tidak seharusnya memikirkan apa yang berlaku di luar padang sebaliknya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mereka ketika berdepan Indonesia pada aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, esok.
“Saya, jika diturunkan, sudah pasti mahu jaringkan gol. Saya mahu Malaysia menang… maaf berkata begitu,” kata penyerang berusia 23 tahun itu.
Fergus berkata, Malaysia hadir dengan pasukan yang cukup lengkap dan bersedia memberikan segala-galanya dalam perlawanan yang dijangka berlangsung dalam suasana panas di GBK.
“Malaysia hadir dengan pasukan yang cukup lengkap. Kami akan berjuang habis-habisan.
“Tidak mengapa mereka mempunyai penyokong ramai. Yang penting kami perlu fokus dan tidak fikirkan apa yang berlaku di luar padang,” katanya.
Malah, pemain itu turut memberikan pujian terhadap rakan sepasukannya yang disifatkannya beraksi dengan baik, sekali gus memberi keyakinan menjelang pertemuan menentang tuan rumah.
Ketenangan Fergus itu turut dikongsi rakan sepasukannya, Stuart Wilkin yang mengakui pertemuan dengan Indonesia adalah cabaran besar, terutama apabila ia menjadi pengalaman pertamanya berdepan skuad Garuda.
“Saya tahu itu perlawanan yang cukup sukar dan kita perlu lebih bersedia. Ini juga perlawanan pertama saya bertemu Indonesia.
“Bukan senang, tapi kita boleh juga lawan mereka. Segalanya mungkin dan kita tetap mempunyai pasukan yang kuat sekarang.Pastinya satu perlawanan mencabar bertemu Indonesia,” katanya.
Keyakinan kedua-dua pemain itu hadir selepas Harimau Malaya membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, manakala Indonesia turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Singapura.
Namun, kelebihan tuan rumah yang dijangka beraksi di hadapan sokongan padu penyokong sendiri tidak dianggap sebagai alasan buat Harimau Malaya untuk tunduk sebelum perlawanan bermula.
Malah perlawanan Derby Nusantara itu dianggap sebagai ‘mini final’ apabila sering menjadi tumpuan penyokong bola sepak negara masing-masing dan kerap mencetuskan insiden yang tidak diingini.
Mengikut rekod semasa, Malaysia mendahului Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, manakala Indonesia berada di tangga kedua selepas kedua-dua pasukan mengutip tiga mata hasil kemenangan dalam aksi pembukaan, dengan skuad Harimau Malaya memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol.
© New Straits Times Press (M) Bhd




