Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen parti itu bersama Kerajaan Perpaduan akan berakhir apabila Parlimen ke-15 dibubarkan.
“The moment (Disaat) Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka (Kerajaan Perpaduan),”tegas beliau.

Menurut Ahmad Zahid, BN telah membuat keputusan untuk bersama Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan akan kekal dengan komitmen berkenaan sehingga tamat penggal.
“Dalam keadaan kompleks, kita mahu satu kompas tetap. BN buat keputusan bersama kerajaan selepas PRU15, komitmen kita tetap berada di dalam kerajaan sehingga tamat penggal ke-15.
“Ketika Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid menjelaskan komitmen itu merupakan janji BN kepada Yang di-Pertuan Agong dan telah termeterai menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna BN menyerahkan identitinya atau berhenti mempunyai pendirian sendiri.
Sumber: Astro Awani (Seth Akmal)




