1,303 ditahan dalam Op Mule

1,303 ditahan dalam Op Mule

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 1,303 individu ditahan di seluruh negara menerusi Op Mule NSRC 2025 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bagi membanteras kegiatan akaun keldai untuk sindiket penipuan dalam talian.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata operasi dari 22 hingga 28 September lalu dengan penyertaan semua kontinjen polis di seluruh negara.

Katanya, semua tangkapan membabitkan kes-kes yang dilaporkan oleh pihak Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

“Operasi ini bertujuan menjalankan serbuan, tangkapan dan rampasan terhadap ahli sindiket akaun keldai termasuk mereka yang terbabit dalam penipuan dalam talian, urusan kewangan dan juga warga asing.

“Semua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 424A, 424B dan 424C Kanun Keseksaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak 778 kertas siasatan dibuka sepanjang operasi berkenaan, manakala 270 kes sudah dituduh di mahkamah dan 312 lagi masih dalam siasatan.

“JSJK akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan kerjasama dengan NSRC bagi mengekang jenayah siber serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap keselamatan transaksi dalam talian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top