Gaza: Utusan khas Presiden Donald Trump menjanjikan rancangan untuk menghantar lebih banyak makanan ke Gaza selepas memeriksa pusat pengedaran yang disokong Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Kenyataan itu ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, tentera Israel membunuh ratusan rakyat Palestin yang kelaparan yang menunggu bantuan sejak dua bulan lalu.
Kunjungan utusan AS, Steve Witkoff ke Gaza ketika laporan daripada kumpulan advokasi global Human Rights Watch menuduh tentera Israel menyebabkan “pertumpahan darah yang kerap” berhampiran tempat bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong AS.
Pejabat hak asasi manusia PBB di wilayah Palestin berkata, sekurang-kurangnya 1,373 rakyat Palestin yang meminta bantuan di Gaza, terbunuh sejak 27 Mei – 105 daripadanya dalam dua hari terakhir Julai.
“Kebanyakan pembunuhan ini dilakukan oleh tentera Israel,” kata pejabat PBB, memecahkan jumlah kematian kepada 859 terbunuh berhampiran tapak GHF dan 514 di sepanjang laluan yang digunakan oleh PBB dan konvoi agensi bantuan.
Witkoff berkata, dia menghabiskan masa lebih lima jam di dalam Gaza, berdasarkan satu kiriman dalam talian yang disertakan dengan gambar dirinya memakai jaket pelindung dan bertemu kakitangan di pusat pengedaran GHF.
Lawatan itu bertujuan untuk memberi Trump “pemahaman yang jelas tentang situasi kemanusiaan dan membantu merangka rancangan untuk menyampaikan bantuan makanan dan perubatan kepada penduduk Gaza,” kata Witkoff.
Trump mengulangi perkara ini dalam panggilan telefon dengan laman berita AS, Axios yang menggembar-gemburkan rancangan untuk “membuat orang ramai diberi makan”.
“Kami mahu membantu orang ramai. Kami mahu membantu mereka hidup. Kami mahu memberi orang makan. Ia adalah sesuatu yang sepatutnya berlaku lama dahulu,” kata Trump menurut Axios.
Presiden AS itu tidak menyatakan sama ada rancangannya akan membabitkan pengukuhan GHF atau mekanisme baharu, kata laporan itu.
GHF sebahagian besarnya mengetepikan sistem pengagihan bantuan yang diketuai PBB di Gaza sejak sekian lama, ketika Israel pada akhir Mei mula melonggarkan sekatan bantuan selama lebih dua bulan.
Yayasan itu berkata, ia menyampaikan hidangan ke-100 jutanya di Gaza semasa lawatan Witkoff dan duta AS, Mike Huckabee.
Agensi pertahanan awam Gaza berkata, 22 orang terbunuh akibat tembakan dan serangan udara Israel pada hari Jumaat, termasuk lapan yang menunggu untuk mengutip bantuan makanan.
Dalam laporannya mengenai pusat GHF, Human Rights Watch menuduh tentera Israel menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




