Aliran trafik di PLUS, KLK sesak, bergerak perlahan malam ini

Aliran trafik di PLUS, KLK sesak, bergerak perlahan malam ini

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan masih sesak dan bergerak perlahan sejak petang tadi hingga malam ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan memaklumkan, kesesakan masih dilaporkan di beberapa laluan utama setakat jam 10 malam ini.

“Antara laluan yang mengalami trafik perlahan arah selatan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ialah dari Sungai Petani Utara ke Sungai Petani Selatan, Sungai Dua ke Seberang Jaya, Kuala Kangsar ke Terowong Menora, Tapah ke Bidor serta Tanjung Malim ke Bukit Beruntung.

“Bagi arah utara, aliran trafik bergerak perlahan dari Senawang ke Seremban,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

LLM berkata, di Johor, aliran trafik turut meningkat di laluan menuju Singapura iaitu dari CIQ Sultan Iskandar ke CIQ Woodlands menerusi Lebuhraya Tambak Johor serta dari Jambatan Linkedua ke CIQ Tuas melalui Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura.

“Sementara itu, di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah barat, trafik bergerak perlahan dari Bentong ke Bukit Tinggi dan dari Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak,” katanya.

Dalam pada itu, LLM mengingatkan pengguna lebuh raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan dan peka terhadap keadaan persekitaran.

Katanya, pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan atau terbabit dalam kemalangan dinasihatkan berada di belakang penghadang jalan sementara menunggu bantuan tiba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top