Lelaki ditahan, 49 kotak mercun dan bunga api dirampas

Lelaki ditahan, 49 kotak mercun dan bunga api dirampas

am@hmetro.com.my

Kuantan: Sebanyak 49 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM86,700 dirampas hasil serbuan di sebuah stor di Taman Bukit Bendera, Mentakab, Temerloh, malam tadi.

Dalam serbuan Op Taring Charlie jam 8 malam itu, rampasan dilakukan anggota Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Temerloh.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata, rampasan itu susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

Katanya, lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan yang disimpan di stor itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai mendapatkan bekalan mercun dari Triang, Bera dan menyewa stor itu pada kadar RM500 sebulan.

Katanya, mercun yang disimpan di stor itu dipercayai tidak habis dijual pada musim perayaan lalu.

“Susulan kes ini, risikan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi membanteras segala aktiviti penjualan mercun tanpa lesen,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top