am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Seorang ibu tunggal dan anaknya berdepan detik cemas apabila rumah pusaka yang didiami mereka di Kampung Chenulang, di sini, rosak selepas dihempap pokok dalam kejadian ribut, Khamis lalu.
Rozilawani Mohamad Nor, 58, berkata, kejadian berlaku pada jam 6.10 petang ketika hujan lebat disertai kilat, selain angin kencang.
Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah bersama anaknya, Izwani Che Wan Johari, 30, sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi pokok tumbang.
“Dua batang pokok, iaitu pokok bachang dan durian yang berada di belakang rumah tumbang lalu menghempap bahagian ruang tamu dan bilik tidur.
“Penduduk kampung dan anggota bomba membantu memotong dan mengalihkan dahan pokok yang tumbang menghempap rumah.
“Sejak kejadian itu, kami tidur dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini, terutama ketika hujan dan angin kuat,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed menyantuni dan bertanya khabar keperluan ibu tunggal berkenaan bagi meringankan beban ditanggung.
Rozilawani berkata, keadaan rumah pusaka yang sudah berusia hampir 100 tahun itu turut membimbangkan berikutan struktur rumah yang semakin uzur, termasuk papan lantainya yang sudah reput.
“Lebih merumitkan keadaan, saya tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk membaiki pulih bumbung dan struktur rumah yang rosak.
“Malah, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan turut membataskan kemampuan saya untuk mencari pendapatan seperti sebelum ini. Saya kini mengalami masalah gout, tekanan darah tinggi dan kolesterol, selain bahagian kanan badan yang kadang-kadang terasa kebas akibat masalah saraf.
“Jika sebelum ini saya mengambil upah menoreh getah, namun sejak kira-kira empat tahun lalu saya terpaksa berhenti kerana masalah kesihatan,” katanya.
Katanya, dia berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk membaiki rumah pusaka yang didiaminya itu, terutama bahagian yang mengalami kerosakan demi memastikan keselamatan dirinya dan keluarga.
“Saya tidak berkemampuan untuk menanggung kos pembaikan yang tinggi,” katanya.
Orang ramai atau pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh meyalurkannya ke akaun Bank Islam bernombor 03-072-02-222755-5 atas nama Rozilawani Mohamad Nor atau boleh menghubunginya di talian 019-4140370.
© New Straits Times Press (M) Bhd




