15 hospital kerajaan antara penerima awal peruntukan digital RM1 bilion – Fahmi

Putrajaya: Sebanyak 15 hospital kerajaan antara kumpulan awal yang akan menerima manfaat peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata peruntukan itu yang dinaikkan daripada RM650 juta seperti diumumkan sebelum ini, akan mempercepat pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) serta penyediaan akses Internet, termasuk WiFi awam di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.

“Saya akan adakan perbincangan, pada peringkat awal 15 hospital dijangka dapat diselesaikan tapi saya akan minta supaya angka ini dinaikkan lagi dan daripada 2,000 klinik kesihatan, kita akan cuba untuk pertingkatkan jumlah yang dapat diuruskan bagi tahun ini.

“Peningkatan peruntukan ini bertujuan mempercepat usaha untuk akses digital di klinik kesihatan dan hospital kerajaan serta program e-medical record yang telah kita laksanakan menerusi kerjasama MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan juga Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan sistem EMR secara rintis di Klinik Kesihatan Padang Besar telah membolehkan doktor mengakses maklumat pesakit secara elektronik tanpa perlu merujuk dokumen fizikal, sekali gus menjimatkan masa bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi akan membantu memastikan mesej Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelbagai bantuan dan kejayaan kerajaan disampaikan secara berkesan kepada rakyat.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai tawaran langganan percuma aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi 100,000 anak muda berusia 18 hingga 30 tahun sekiranya menyertai program AI untuk Rakyat, akan dimaklumkan kemudian.

Terdahulu, ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan, Anwar mengumumkan enam ikhtiar utama, termasuk peruntukan RM1 bilion bagi mempercepat urusan rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu menerusi sistem EMR.

Selain itu, beliau turut mengumumkan kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, BUDI Diesel dari 300 liter ke 400 liter sebulan, menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, serta langganan AI percuma kepada anak muda.

Anwar berkata peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 akan ditingkatkan 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta, bantu penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang meniaga dari rumah, manakala kemudahan pembiayaan mikro akan ditambah RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top