JPBN Sabah terus pantau kebakaran 202 rumah di Numbak

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah terus memantau perkembangan kebakaran yang menjejaskan 202 rumah di Kampung Numbak, di sini, awal pagi tadi.

JPBN Sabah dalam kenyataannya memaklumkan, pemantauan meliputi proses pendaftaran mangsa, keperluan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta operasi pascabencana dari semasa ke semasa.

“Setakat pukul empat petang, dua PPS beroperasi bagi menempatkan mangsa iaitu Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Damai.

“Seramai 134 mangsa daripada 40 Ketua Isi Rumah (KIR) ditempatkan di kedua-dua PPS berkenaan, dengan jumlah mangsa yang berdaftar masih meningkat,” menurut kenyataan itu hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 110 mangsa daripada 34 KIR ditempatkan di Dewan Serbaguna Likas, manakala 24 mangsa daripada enam KIR ditempatkan di Dewan Damai.

Kedua-dua PPS dibuka pada pukul 10 pagi, manakala Dewan Serbaguna Likas dilaporkan sesak berikutan proses pendaftaran mangsa yang masih berlangsung.

Dewan Damai yang mempunyai kapasiti kira-kira 70 khemah atau lebih 100 keluarga turut dibuka sebagai PPS kedua.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu, tiga kanak-kanak maut dan ketiga-tiga mangsa disahkan sebagai warganegara Malaysia oleh Jabatan Kebajikan dan Perkhidmatan Am Sabah.

Mangsa ialah Mohd Asrul Abdullah, 6; Nana Abdullah, 4; dan Nur Farah Bilah Mohd Tajah, 8.

Kebakaran membabitkan kawasan rumah setinggan atas air yang merangkumi Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama dengan kawasan terjejas dianggarkan seluas 260 meter x 380 meter.

Operasi pemadaman membabitkan 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran selain bantuan agensi lain.

Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran, manakala operasi pemadaman dan kerja-kerja baik pulih selepas kebakaran masih diteruskan.

Menurut JPBN Sabah, pengamatan awal mendapati sebahagian penghuni kawasan rumah setinggan terbabit bukan penduduk tempatan.

“PPS disediakan untuk warga tempatan yang terjejas, manakala kawalan sedang dilaksanakan bagi memastikan tiada pembinaan struktur baharu di kawasan setinggan terbabit,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Scroll to Top