1,500 bungkus Mee Mamu percuma sempena Maulidur Rasul

1,500 bungkus Mee Mamu percuma sempena Maulidur Rasul

SHAH ALAM: Restoran Mee Mamu tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan sambutan Maulidur Rasul hari ini dengan mengedarkan 1,500 bungkus mi goreng percuma kepada orang awam, hari ini.

Makanan popular itu diedarkan di dua cawangan restoran berkenaan iaitu di Seksyen 2, di sini serta Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Pemilik perniagaannya, Nur Hafizah Mohd. Habeebullah berkata, pemberian makanan percuma sempena sambutan Maulidur Rasul itu dilakukan pada setiap tahun sebagai tanda syukur serta memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW.

“Tahun lepas pun, kita beri jumlah bungkusan mi goreng itu sama kepada orang ramai, tetapi pada waktu itu, kita ada tiga cawangan. Tahun ini, kami tinggal dua cawangan sahaja.

“Jadi, 1,000 bungkus mi goreng percuma di cawangan Shah Alam dan 500 lagi di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Seksyen 2, hari ini.

Tambahnya, dia mengakui berlaku peningkatan harga bahan mentah, namun itu tidak menghalang untuk meneruskan sumbangan seperti yang pernah dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini.

“Setiap pelanggan hanya diberikan dua bungkus mi goreng sahaja kerana kita nak seramai mungkin dapat rasa Mee Mamu ini.

“Saya jangka dalam pukul 3 petang ini, semua mi percuma habis, tetapi kita akan lanjutkan sehingga pukul 6 nanti jika tidak habis,” ujarnya yang menjalankan perniagaan Mee Mamu sejak empat tahun lalu. – UTUSAN