am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Polis Johor melancarkan Op Ambang Merdeka 2026 bermula esok hingga Selasa depan bagi memperkasakan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam di seluruh negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pelaksanaan operasi itu bertujuan membanteras sebarang kegiatan jenayah, memelihara ketenteraman awam serta memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau berkata, seramai 1,529 pegawai dan anggota polis Johor digerakkan bagi melaksanakan penugasan secara berperingkat dan bergilir di lokasi strategik serta kawasan yang dijangka menjadi tumpuan orang ramai.
“Jumlah kekuatan ini terdiri daripada 168 Pegawai Kanan Polis dan 1,361 Pegawai Rendah Polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kawalan utama operasi adalah untuk memastikan keselamatan orang ramai, mencegah kejadian jenayah, memelihara ketenteraman awam serta memastikan kelancaran lalu lintas.
Katanya, fokus penugasan pula diberi khususnya di kawasan sambutan Ambang Merdeka, pusat bandar, lokasi tumpuan awam, kawasan rekreasi, pusat beli-belah dan jalan utama.
“Kita turut memberi perhatian terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, termasuk perlumbaan haram, aksi menunggang motosikal secara berbahaya, pemanduan secara melulu, penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol secara berlebihan serta pelanggaran peraturan lalu lintas,” katanya.
Ab Rahaman berkata, polis juga menasihatkan orang ramai supaya meraikan Ambang Merdeka secara tertib, berhemah dan bertanggungjawab, di samping mematuhi segala arahan keselamatan yang ditetapkan.
Katanya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi peraturan lalu lintas dan sentiasa mengutamakan keselamatan dengan tidak memandu secara melulu atau agresif.
© New Straits Times Press (M) Bhd
