PERMATANG PAUH- Kemerdekaan tidak hanya bermakna negara bebas daripada penjajahan sebaliknya turut menuntut kebebasan minda rakyat khususnya golongan muda untuk berani berfikir, bersuara dan menentukan masa depan negara sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, anak muda dan mahasiswa perlu diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pandangan termasuk kritikan terhadap kerajaan tanpa terus dianggap sebagai ancaman.
Menurut beliau, kekangan serta undang-undang warisan penjajah yang boleh menyekat kebebasan bersuara perlu diteliti supaya semangat kemerdekaan dapat diterjemahkan dalam bentuk kebebasan berfikir.
“Kita mahu anak muda berani berfikir. Mahasiswa mesti diberikan ruang untuk bersuara dan menyampaikan pandangan.
“Jangan kerana mereka mengkritik atau mempunyai pandangan yang berbeza, terus dianggap sebagai ancaman. Inilah kebebasan minda yang perlu kita bina dalam sebuah negara merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat Madani 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini pada Sabtu.
Anwar berkata, kebebasan minda penting bagi memastikan generasi muda tidak hanya menjadi penerima dasar sebaliknya turut berperanan dalam membentuk hala tuju negara.
Katanya, keberanian untuk berfikir secara kritis dan menyuarakan pandangan perlu dipupuk selagi dilakukan dengan penuh tanggungjawab serta menghormati prinsip undang-undang dan Perlembagaan.
“Kalau kita mahu negara ini maju, kita mesti berani mendengar pandangan anak muda. Mereka adalah generasi yang akan menentukan arah negara pada masa depan.
“Jangan kita warisi cara berfikir zaman penjajahan yang takut kepada suara rakyat,” katanya.
Menurutnya, kemerdekaan yang dikecapi negara hari ini bukan diperoleh dengan mudah sebaliknya lahir daripada sejarah panjang perjuangan rakyat menentang penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun.
Beliau berkata, pengorbanan darah, keringat dan air mata selama ratusan tahun dilakukan bagi memastikan negara akhirnya dapat ditadbir sendiri tanpa sistem pentadbiran, masa depan, agama dan budaya ditentukan kuasa asing.
“Kita jangan lupa makna kemerdekaan. Beratus-ratus tahun kita dijajah, darah, keringat dan air mata dicurahkan untuk memastikan negara ini bebas dan ditadbir oleh kita sendiri,” katanya.
Anwar berkata, kemerdekaan juga bertujuan memastikan kekayaan negara tidak terus dirompak atau dibawa keluar oleh penjajah sebaliknya digunakan untuk membangunkan negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, kemerdekaan seharusnya menjadi ‘jambatan emas’ yang membawa kebebasan, peluang dan kebaikan kepada seluruh rakyat.
“Kalau kita sudah merdeka tetapi kekayaan negara masih diseleweng, dirampas atau dinikmati oleh segelintir pihak, kita perlu bertanya apakah makna sebenar kemerdekaan itu.
“Jadi, kemerdekaan mesti diterjemahkan dengan memastikan hasil dan kekayaan negara kembali kepada rakyat,” katanya.