DOMINASI pemain daripada akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas menyerlah apabila seramai 16 pemain kelab gergasi tanah air itu membarisi senarai 26 pemain yang dipanggil Pengendali Harimau Malaya Bawah 19 Tahun (B-19), Nafuzi Zain bagi menyertai kem latihan pusat bermula Khamis ini.
Skuad muda negara itu bakal menjalani latihan pusat sebagai persiapan menghadapi kempen Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 yang dijadual berlangsung di Medan, Indonesia dari 1 hingga 13 Jun depan.
Daripada jumlah keseluruhan pemain dipanggil, lapan pemain hadir daripada JDT III manakala lapan lagi mewakili JDT IV, sekali gus menjadikan JDT penyumbang terbesar kepada skuad Harimau Muda B-19 kali ini.
Antara tonggak JDT III yang dipanggil termasuk Ahmad Lutfil Hadi Sahabudin, Muhammad Arsyad Mohd Shamsul Aswadi, Muhammad Arif Aiman Za’aba, Muhammad Ierfan Hafizan Muhammad Hafiz dan Faez Iqhwan Muhammad Azmi.
Turut berada dalam radar Nafuzi ialah pemain JDT IV seperti Muhammad Amar Imran Uzaini Ashadi, Arayyan Hakeem Norizam, Aisy Aqasha Noorazhar dan Adam Hakimi Mohd Zaki.
Selain dominasi JDT, Selangor FC turut menyumbang tujuh pemain menerusi gabungan skuad Selangor FC II, Selangor FC B-20 dan Selangor FC B-18.
Antara pemain dipanggil daripada kem Selangor ialah Muhamad Irfan Aswad Roslan, Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama, Muhammad Danial Hqzeiry Mohd Amin dan Syazril Izwan Shairunizam.
Tiga lagi pemain melengkapkan senarai ialah Luka Jordy Hodak dari NK Trnje FC, Pravinash Ravindran (MISC-Touchtronics FC) serta Muhammad Zafran Raiyan Zulkepli dari Kedah FA.
Kempen di Medan, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Singapura, Brunei dan Thailand yang muncul naib juara edisi 2024.
Skuad negara akan membuka kempen menentang Singapura pada 2 Jun sebelum bertemu Brunei pada 5 Jun diikuti Thailand pada 8 Jun.



