17.65 juta individu sudah daftar PADU

17.65 juta individu sudah daftar PADU

KUALA LUMPUR – Seramai 11.55 juta (52.6%) warganegara berumur atas 18 tahun telah berjaya mendaftar dan mengemaskini profil diri di sistem PADU, menjadikan 17.65 juta (58.7%) keseluruhan profil rakyat, termasuk ahli isi rumah di bawah umur 18 tahun.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengambil inisiatif ini untuk mendaftar PADU.

“Mereka yang tidak berjaya mendaftar dan mengemaskini profil di PADU, data pentadbiran yang sedia akan digunakan untuk kerajaan menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi, ” katanya.

Menurut kenyataan beliau, Kementerian Ekonomi akan mengumumkan pembukaan semula PADU untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian, setelah kerajaan membuat keputusan bentuk dan mekanisme subsidi bersasar.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan media, Perlis mencatatkan peratusan yang paling tinggi mengemas kini PADU iaitu sebanyak 66.9 peratus diikuti oleh Kelantan (65.2 peratus), Terengganu (62.7 peratus), Perak (60.3 peratus) dan Pahang (59.7 peratus).

Negeri lain ialah Kedah dengan 58.9 peratus, Putrajaya (56.5 peratus), Negeri Sembilan (56.2 peratus), Labuan (55.2 peratus), Melaka (53.0 peratus), Pulau Pinang (52.9 peratus), Sabah (52.8 peratus), Johor (48.4 peratus), Kuala Lumpur (47.6 peratus), Sarawak (46.7 peratus) dan Selangor (44.5 peratus). – MalaysiaGazette