am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Insiden membabitkan wanita yang melecur 70 peratus akibat terkena renjatan elektrik dalam bilik pencawang di Taman Ria Jaya di sini, tidak membabitkan fasiliti di bawah seliaan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
TNB dalam kenyataan berkata, pihaknya maklum mengenai insiden terbabit dan siasatan dibuat mengesahkan lokasi kejadian bukan aset milik atau di bawah seliaan pihaknya.
Selain itu, TNB juga menegaskan bahawa pepasangan elektrik seperti papan suis utama dan kabel elektrik adalah berbahaya serta tidak boleh disentuh atau diceroboh oleh mana-mana pihak.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita melecur kira-kira 70 peratus selepas terkena renjatan elektrik, dipercayai ketika cuba mencuri kabel di sebuah bilik pencawang di Taman Ria Jaya, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




