Kerajaan Kelantan tiada rancangan hentikan aktiviti pendakian – Timbalan MB

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Kerajaan negeri tidak mempunyai rancangan untuk menghentikan sementara aktiviti pendakian, susulan kejadian enam pendaki dilaporkan hilang di Gunung Gerah, dekat sini, pada 29 Ogos lalu, sebelum mereka ditemukan selamat hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, bagaimanapun berkata, pendaki perlu mematuhi peraturan sedia ada, termasuk dari segi had umur, selain mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

“Peraturan perlu dipatuhi, termasuk peraturan yang menetapkan had umur bagi pendaki,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, media melaporkan enam individu, membabitkan empat beranak termasuk dua kanak-kanak, yang dilaporkan hilang ketika merentasi laluan Trans Gerah, di Gunung Gerah, dekat sini, berjaya dihubungi dan memaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top