Malaysia tunggu kebenaran Nepal untuk hantar pakar DNA

Kuala Lumpur: Malaysia menunggu kebenaran Kerajaan Nepal untuk menghantar pakar asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu mengenal pasti identiti jasad mangsa bencana di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata permohonan untuk menghantar pakar berkenaan telah dikemukakan kepada Kerajaan Nepal dan proses pengecaman menerusi DNA dijangka dilakukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan.

Beliau berkata kepakaran itu diperlukan bagi membolehkan sampel DNA daripada jasad mangsa bencana dipadankan dengan sampel diberikan ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan.

“Terdapat jasad yang telah ditemukan tetapi terus dikebumikan kerana mereka tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi.

“Kita memerlukan DNA untuk dipadankan dengan sampel DNA ahli keluarga rakyat Malaysia… proses itu akan dilakukan selepas operasi SAR ditamatkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis makan tengah hari sempena lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, beliau memaklumkan bahawa kesemua sampel DNA waris terdekat 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dikesan susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal selesai diperoleh.

Sementara itu, Mohamad berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang kini dalam perjalanan ke kawasan ground zero akan membantu pihak berkuasa Nepal dalam usaha mengesan mangsa yang masih belum ditemukan.

Beliau berkata Malaysia berharap kehadiran pasukan berkenaan dapat membantu usaha mencari dan mengesan mangsa yang masih dikategorikan sebagai hilang.

Semalam, anggota SMART MAS01 yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke Nepal selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu pada 12 tengah hari waktu tempatan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan pasukan itu selesai menjalani proses ketibaan dan protokol misi pada 4.30 petang waktu tempatan termasuk urusan pelepasan logistik serta pengesahan senarai anggota.

Pasukan itu terdiri daripada 11 anggota dan pegawai SMART yang membawa peralatan SAR seberat 12.4 tan antaranya kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi dan peralatan khas penyelamatan terowong serta sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah trak muatan 10 tan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top