Bau busuk bongkar penemuan mayat reput dalam semak

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Bau busuk membawa kepada penemuan mayat lelaki di kawasan semak tepi Jalan Persiaran Balairong U8, Bukit Jelutong di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan itu kira-kira 2.45 petang daripada orang awam.

“Siasatan awal mendapati mayat adalah lelaki namun bangsa tidak pasti. Butiran simati tidak dapat dipastikan memandangkan keadaan mayat telah reput dan tiada pengenalan diri dijumpai.

“Pemeriksaan ke atas fizikal tidak dapat dijalankan memandangkan mayat telah reput,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarudin berkata, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam untuk bedah siasat jam 2 petang esok.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372.

Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar hantaran mengenai penemuan mayat itu oleh pihak pembersihan pokok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top