17 GRO warga asing ditahan

17 GRO warga asing ditahan

safeek@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seramai 17 wanita warga Thailand, Indonesia, Vietnam dan Laos ditahan selepas didapati menawarkan khidmat menemani pelanggan di sebuah restoran dan kafe di Mont Kiara, di sini, malam ini.

Ketika serbuan jam 8 malam itu, sebahagian wanita warga asing itu bergerak dari satu meja ke satu meja pelanggan dalam premis berkenaan sambil menawarkan perkhidmatan istimewa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Saiful Annuar Yusoff, berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur selepas memperoleh maklumat awam.

“Ketika serbuan, terdapat seorang wanita tempatan bertindak sebagai ‘mommy’ atau penjaga kepada wanita GRO warga asing ini.

“Kesemua GRO dan penjaga serta seorang lelaki yang juga pengurus premis berusia antara 21 hingga 43 tahun ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Saiful Annuar berkata polis turut merampas resit jualan, satu unit audio mixer, satu unit monitor, satu unit CPU dan pembesar suara.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55B, Peraturan 39b dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata JSJ Kuala Lumpur sentiasa mengalu-alukan maklumat orang awam mengenai kegiatan tidak bermoral atau aktiviti hiburan yang beroperasi secara rahsia selepas kerajaan tidak membenarkan aktiviti berkenaan dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top