hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Polis menyita 18 motosikal dan mengeluarkan 101 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di sekitar daerah ini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, operasi dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Menurutnya, sebanyak 150 motosikal dan 172 individu diperiksa dalam operasi berkenaan.
“Susulan itu, 18 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan terutama membabitkan pengubahsuaian peralatan, ekzos dan komponen motosikal.
“Semua motosikal itu dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk ujian saringan bunyi oleh pihak JAS dan 12 daripadanya didapati gagal ujian saringan bunyi dan diberikan notis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 101 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas terhadap penunggang dan pembonceng motosikal.
“Operasi itu akan dilaksana secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




