18 pemain muda sertai progam khas gabung latihan, TVET

18 pemain muda sertai progam khas gabung latihan, TVET

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Seramai 18 pemain skuad pelapis Negeri Sembilan terpilih menyertai Program Atlet Pelajar (SAP), yang mengabungkan latihan bola sepak kompetetif dengan pendidikan berasaskan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Program SAP itu anjuran bersama Akademi Sukan Atlet Negeri Sembilan (ASANS) dengan Kolej JSJ Seremban.

Pengarah Sukan ASANS merangkap ketua jurulatih, Mohd Noradli Norani berkata, program terbabit diwujudkan buat julung kali bagi menyediakan laluan pembangunan yang lebih stabil dan realistik kepada atlet muda selari dengan keperluan industri semasa.

“Program ini yang pertama menggabungkan TVET dengan bola sepak dan ia dilakukan sebagai menyahut seruan serta galakan kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya lebih ramai generasi muda melibatkan diri dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional.

“Menerusi program SAP ini, pemain muda berkenaan dilatih sebagai pemain bola sepak dan dalam masa sama mengikuti kemahiran dalam bidang mekatronik (mekanikal, elektrik, elektronik dan sistem kawalan komputer/pengaturcaraan).

“Ini dapat membina serta membentuk kebolehan mereka dalam kedua-duanya iaitu bola sepak dan kemahiran,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian, di Kolej JSJ, hari ini.

Menurut Mohd Noradli, kesemua pemain muda terbabit yang berusia antara 15 dan 16 tahun dipilih daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top