Tiga warga Indonesia ditahan, seludup dan edar minuman keras tak berkastam

Tiga warga Indonesia ditahan, seludup dan edar minuman keras tak berkastam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis membongkar kegiatan penyeludupan dan pengedaran minuman keras dengan penahanan tiga lelaki warga Indonesia dan rampasan 76,367 kotak minuman keras dipercayai tidak berkastam di Kuching, Sarawak, semalam.

Serbuan 2.15 petang itu dijalankan Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan serta Majlis Perbandaran Padawan.

Rampasan dan tangkapan itu dilakukan melalui operasi bersepadu Integrasi Strategik Intra/Inter Agensi – OP Taring Alpha 2 (minuman keras) susulan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan serta pengedaran minuman keras tidak berkastam di Sarawak.

Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 35 tahun di sebuah premis di Kuching, Sarawak.

Menurutnya, hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan 76,367 kotak minuman keras termasuk yang ditemui dalam tiga kontena selain dua forklift.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Mohd Yusri berkata, operasi berkenaan sebahagian daripada komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh penguatkuasaan terhadap aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barangan tidak berkastam.

Katanya, aktiviti itu bukan sahaja mengakibatkan ketirisan hasil negara, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada jenayah rentas sempadan serta mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras, penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi serta apa-apa bentuk pelanggaran undang-undang yang menjejaskan kepentingan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 6 Julai lalu, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman sudah melaksanakan 199 serbuan di seluruh negara dengan kejayaan menahan 374 individu.

Katanya, ia atas pelbagai kesalahan membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-waste.

“Sepanjang tempoh itu, jumlah keseluruhan nilai rampasan yang direkodkan dianggarkan sebanyak RM258.52 juta,” katanya.

Katanya, pihaknya akan terus memperhebat risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah terancang dengan lebih berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top