Seoul: Seorang wanita berusia 30-an tahun didakwa menggunakan program makro untuk membeli secara automatik kira-kira 2,600 tiket konsert K-pop sebelum menjualnya semula pada harga lebih tinggi, lapor The Korea Herald.
Polis Korea Selatan berkata, antara tiket yang diperoleh wanita itu adalah sembilan tiket persembahan BTS di Gwanghwamun pada Mac lalu yang sangat mendapat permintaan.
Menurut agensi Polis Metropolitan Seoul, wanita itu dirujuk kepada pendakwa raya tanpa ditahan atas tuduhan melanggar Akta Rangkaian Komunikasi dan Maklumat, menghalang operasi perniagaan serta Akta Persembahan Awam.
“Wanita itu menggunakan program automatik berkenaan antara April 2023 hingga Mac 2026 untuk membeli tiket konsert artis K-pop popular sebelum menjualnya semula pada harga lebih tinggi,” katanya.
Penyiasat berkata, suspek menggunakan perisian berkenaan bagi melengkapkan pembelian tiket dalam talian lebih pantas berbanding pengguna biasa selain memintas had pembelian dengan menggunakan akaun yang didaftarkan atas nama saudara-mara dan kenalannya.
Difahamkan, polis mula mengesan kegiatan itu pada 23 Februari lalu ketika jualan tiket konsert BTS di Gwanghwamun dan mendapati suspek memperoleh sembilan tiket menggunakan kaedah sama, namun pihak berkuasa campur tangan sebelum tiket berkenaan sempat dijual semula.
Pihak berkuasa menganggarkan wanita itu memperoleh kira-kira 442 juta won (kira-kira RM1.29 juta) hasil kegiatan haram berkenaan dan polis memohon perintah penyitaan serta pemeliharaan pradakwaan bagi menghalang hasil berkenaan dilupuskan sebelum perbicaraan.
Dalam kes berasingan di Ulsan, seorang suspek lelaki berusia 30-an tahun ditahan dan dirujuk kepada pendakwa raya selepas didakwa membangunkan program makro untuk membeli lebih 1,700 tiket konsert K-pop antara November 2024 hingga Oktober 2025.
Polis berkata, tiket berkenaan dijual semula pada harga tiga hingga 13 kali ganda daripada harga asal, menghasilkan keuntungan kira-kira 420 juta won (kira-kira RM1.23 juta).
Pengumuman itu dibuat beberapa hari sebelum hukuman lebih berat terhadap penjualan semula tiket secara haram berkuat kuasa.
Bermula 28 Ogos, pindaan Akta Persembahan Awam dan Akta Promosi Sukan Negara membolehkan pihak berkuasa Korea Selatan mengenakan denda pentadbiran sehingga 50 kali ganda nilai tiket yang dijual semula secara haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd

