Nepal mula kebumi mayat selepas sampel DNA diambil

KATHMANDU: Nepal pada Ahad berkata bahawa pihaknya mula mengebumikan sebahagian daripada ratusan mayat yang ditemukan selepas banjir dahsyat berlaku pada Rabu lalu.

Pengebumian itu turut  dilakukan, selepas sampel asid deoksiribonukleik (DNA) diambil dan mayat berkenaan ditanda supaya ahli keluarga dapat mengambilnya kemudian.

Mayat biasanya dibakar di atas unggun pengebumian mengikut tradisi di Nepal yang majoriti penduduknya beragama Hindu.

Justeru pengebumian itu dilihat sebagai penyimpanan sementara untuk tempoh panjang sehingga keluarga dapat mengambil mayat berkenaan.

Setiausaha Luar Nepal, Amrit Bahadur Rai memberitahu pemberita bahawa semua mayat yang dikebumikan telah direkodkan dengan teliti. 

Beliau turut merayu sokongan antarabangsa dengan berkata, Nepal memerlukan lebih 1,000 unit peti sejuk beku untuk menyimpan mayat.

Pengumuman mengenai pengebumian itu dibuat ketika kementerian bencana Nepal sekali lagi meningkatkan angka korban pada Ahad kepada 752 mayat yang telah ditemukan, manakala 2,502 orang masih hilang.

Senarai itu merangkumi 589 warga asing yang masih belum dapat dikesan. – AFP

Scroll to Top