news@nst.com.my
Kota Bharu: Sebuah rumah kayu di Kampung Pasir Kota, di sini, hangus dalam kebakaran ketika pemiliknya baru sejam meninggalkan rumah untuk menghadiri kenduri kahwin.
Jiran mangsa, Che Ibrahim Che Ahmad, 63, berkata rumah berkenaan milik seorang wanita dikenali sebagai ‘Mak Nik’, berusia lingkungan 70-an, yang tinggal bersendirian.
Beliau berkata, anak perempuan Mak Nik datang ke rumah selepas solat Asar untuk menjemput ibunya menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka.
Katanya, ketika kejadian dia sedang berehat dan hampir terlelap sebelum terdengar jeritan kanak-kanak.
“Saya terus keluar dari rumah dan melihat api marak dari rumah Mak Nik.
“Saya segera memberitahu isteri saya, Nor Azimah Ismail, 59, serta anak dan cucu sebelum keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Bapa kepada tujuh anak itu, berkata api merebak dengan pantas kerana rumah berkenaan diperbuat daripada kayu.
Beliau berkata, keluarga Mak Nik yang pulang dari kenduri amat terkejut apabola mendapati rumah mereka musnah dalam kebakaran.
Sementara itu, menantunya, Ahmad Nukman Hanafi, 31, berkata, dia sempat menyelamatkan kereta Proton Myvi miliknya.
“Melihat api semakin merebak, saya terus menghidupkan kereta dan membawanya ke tempat selamat.
“Saya turut dapat menyelamatkan dua lagi kereta keluarga, iaitu Perodua Viva dan Toyota Alphard,” katanya.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 5.12 petang.
Mereka mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menghalang api daripada merebak ke rumah berhampiran dan lebih sejam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

