KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,814 buah kenderaan mewah pelbagai jenis disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Op Luxury sejak tahun lalu hingga semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, tindakan itu dikenakan terhadap pemilik yang culas untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 899 buah direkodkan pada 2025 manakala 915 lagi setakat Mei tahun ini.
“Antara jenis kenderaan mewah yang dikesan termasuk Porsche dan Lamborghini, selain beberapa jenis premium lain yang dikenal pasti gagal memperbaharui LKM.
“JPJ ingin menegaskan bahawa kegagalan memperbaharui LKM adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang akhbar di Depoh Tunda JPJ Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Jazmanie berkata, selain melanggar undang-undang, penggunaan kenderaan tanpa LKM turut mengundang risiko besar kepada pemilik serta pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan.
Katanya, pemilik kenderaan yang ditahan sering memberi alasan terlepas pandang, namun kecuaian itu tidak sepatutnya berlaku kerana aplikasi MyJPJ akan mengeluarkan notis pemakluman apabila LKM tamat tempoh.
“Jadi ia sepatutnya boleh disedari pemilik kenderaan apabila MyJPJ menghantar notis pemakluman itu.
“JPJ memandang serius isu ketidakpatuhan ini dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui operasi berfokus, pemantauan lapangan serta pengesanan secara digital bagi memastikan setiap pemilik kenderaan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN




