Belanjawan 2027: 'Cerminkan kesungguhan kerajaan angkat taraf hidup rakyat' – Ahmad Zahid

Belanjawan 2027: 'Cerminkan kesungguhan kerajaan angkat taraf hidup rakyat' – Ahmad Zahid

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Belanjawan 2027 mencerminkan kesungguhan Kerajaan Perpaduan mengangkat taraf hidup rakyat dan membuka ruang lebih luas untuk mereka membina masa depan lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, belanjawan itu memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat melalui peluasan bantuan bersasar, subsidi dan perlindungan sosial, selain meningkatkan pendapatan serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.

“Saya berharap setiap peruntukan dan inisiatif yang diumumkan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang cekap dan berkesan.

“Ini bagi memastikan manfaat belanjawan ini benar-benar dirasai rakyat melalui pendapatan yang lebih baik, peluang yang lebih luas dan kehidupan yang lebih terjamin,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, seiring Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pertumbuhan ekonomi dipacu melalui penguasaan teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga baharu dan industri bernilai tinggi.

“Pada masa sama, pembangunan yang saksama antara negeri, pengukuhan prasarana asas dan peluasan peluang ekonomi diberi keutamaan bagi memastikan kemakmuran negara turut dinikmati masyarakat luar bandar,” katanya.

Berkenaan peruntukan RM12.68 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah Belanjawan 2027, yang menyaksikan sedikit peningkatan berbanding RM12.4 bilion pada tahun lalu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya memahami situasi kewangan negara.

“Kita menghargai tumpuan yang diberikan kepada kementerian ini dan apa yang lebih penting adalah melaksanakan program yang memberikan impak tinggi kepada kumpulan sasar,” katanya.

Menyentuh berkenaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Ahmad Zahid yan juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, tumpuan akan diberikan kepada ‘Hight TVET’ dan bidang robotik serta bidang yang memberikan peluang pekerjaan lebih tinggi.

“Kita akan menambah kursus yang bersesuaian, yang kebolehpasarannya meningkat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top