sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan rentak cemerlang untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Artik selepas menyingkirkan pilihan kedua dari Perancis, Christo Popov pada suku akhir, sebentar tadi.
Dalam perlawanan itu, Zii Jia turun dengan momentum mantap selepas pulih daripada kecederaan sebelum ini untuk mengejutkan Popov pada set pertama.
Meskipun pemain nombor dua dunia itu cuba bangkit pada set kedua tapi wakil negara berjaya menafikan kebangkitan lawan untuk menang straight set 21-11, 21-16 dalam masa 38 minit.
Kemenangan itu juga membolehkan pemain di ranking ke-56 dunia itu mencatat kemenangan ketiga berturut-turut ke atas Popov.
Kejayaan mara ke kelompok empat terbaik mengulangi pencapaiannya pada Terbuka Kanada, Julai lalu, sekali gus memberikan motivasi tambahan untuk dirinya mendapatkan kembali corak permainan sebenar.
Pada separuh akhir esok, Zii Jia akan bertemu pemenang antara Anders Antonsen dari Denmark atau wakil China, Hu Zhe An dan itu membuka ruang lebih besar untuk dirinya memburu tiket final pertama untuk tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




