2 anggota polis cedera, kereta peronda terbabas elak sekumpulan monyet di tengah jalan

2 anggota polis cedera, kereta peronda terbabas elak sekumpulan monyet di tengah jalan

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Dua anggota polis cedera apabila kereta peronda dinaiki mereka terbabas dan terbalik beberapa kali ketika cuba mengelak sekumpulan monyet yang berada di tengah jalan dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Simpang Bukit Kepah – Tapah, Kampung Kepah di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 4.30 petang.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta peronda Honda City, Muhammad Amirul Hafiz Ahmad, 26, patah tangan kiri manakala rakannya, Khairil Azlan Abdul Latif, 44, mengalami kesakitan pada bahagian rahang.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu itu sedang menjalankan tugas rondaan penguatkuasaan trafik.

“Kereta dinaiki mereka dalam perjalanan dari arah Simpang Kepah ke Kuala Berang sebelum terserempak dengan sekumpulan monyet yang berada di tengah jalan.

“Siasatan awal mendapati pemandu cuba mengelak haiwan tersebut dengan mengubah haluan kenderaan ke arah kanan, namun kenderaan berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik beberapa kali,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis terbabit kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan mendapati lokasi kejadian jalan berselekoh dengan permukaan jalan basah akibat hujan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top