TAIPING: Seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas dipercayai lemas ketika mandi bersama empat rakannya di kawasan Air Terjun Taman Suria di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.10 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dan BBP Kamunting digerakkan ke lokasi kejadian.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Jarak perjalanan ke lokasi dianggarkan tiga kilometer sehingga ke pusat pemeriksaan (checkpoint), sebelum anggota perlu meneruskan perjalanan kira-kira satu kilometer melalui laluan lereng bukit untuk sampai ke kawasan air terjun.
“Setibanya di lokasi, mangsa didapati sudah dibawa keluar oleh rakannya dan dibaringkan di kawasan batuan sungai yang datar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan saksi yang juga rakan mangsa, lelaki berkenaan sedang mandi di kawasan air terjun bersama empat rakannya sebelum kejadian berlaku.
Katanya, Ketua Operasi kemudian mengarahkan anggota melakukan penilaian awal serta memberikan bantuan kecemasan termasuk resusitasi kardiopulmonari (CPR) bagi menstabilkan keadaan mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayatnya dibawa turun menggunakan pengusung oleh anggota bomba.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi yang membabitkan seramai 15 anggota bomba itu turut mendapat bantuan lima anggota polis dan dua petugas KKM dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.20 petang. – UTUSAN




