am@hmetro.com.my
Manjung: Mayat dua lelaki termasuk satu daripadanya sudah mereput ditemukan di dua lokasi berasingan sekitar Ayer Tawar, di sini, hari ini selepas kedua-duanya dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, dua laporan diterima pihaknya pada semalam berkaitan kehilangan dua individu itu, dengan masing-masing dilaporkan hilang sejak 27 Jun lalu dan 8 Julai.
Katanya, mayat reput iaitu mangsa berusia 55 tahun yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 27 Jun lalu ditemukan jam 8.30 pagi tadi di sebuah rumah kosong di Taman Biru, Ayer Tawar hasil maklumat awam.
Menurutnya, seorang lagi mangsa berusia 50 tahun, didakwa tidak pulang ke rumah sejak semalam ditemukan dalam kebun kelapa sawit di Jalan Taman Sri Perak 2, Ayer Tawar jam 9.39 pagi tadi, juga hasil maklumat awam.
“Pegawai perubatan mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, dengan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dua laporan itu dibuat masing-masing oleh individu yang berlainan, dengan kedua-dua mangsa juga tiada hubungan atau pertalian persaudaraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd