5 bulan berlalu, sedetik tidak pernah lupa abah

5 bulan berlalu, sedetik tidak pernah lupa abah

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kluang: Biarpun sudah lima bulan berlalu, ingatan pemuda ini terhadap bapanya yang meninggal dunia pada Februari tidak pernah terpadam.

Kasih sayang Muhammad Azri Arif Mazlan, 24, tidak hanya diungkapkan dengan kata – kata sebaliknya perbuatan, iaitu menerusi usahanya memasang kepok kubur bagi mengindahkan pusara bapanya, Allahyarham Mazlan Jusoh yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menerusi video berkenaan, Muhammad Azri Arif yang menetap di Layang-Layang, dekat sini tidak keseorangan sebaliknya ditemani ibu tercinta, Norhidayah Ismail, 61.

Bercerita lanjut, Muhammad Azri Arif berkata, pemasangan kepok sebelum ini tertunda kerana menunggu ibunya yang baru tamat iddah minggu lalu dan baru dapat menziarah pusara bapanya di Tanah Perkuburan Kampung SC Jaya Sepakat, Layang-Layang, dekat sini.

Katanya, idea menggunakan paip paip polyvinyl chloride (PVC) pula tercetus daripada ibunya dan dia hanya membantu kerja pemasangan daripada awal hingga selesai.

“Kerja pemasangan kepok itu dibuat pada Ahad lepas dan kami guna bahan PVC, bukannya batu kerana tak nak buat binaan kekal pada kubur arwah abah.

“Lagipun, harga kayu agak mahal dan PVC sesuai kerana ia mudah alih dan senang kerja andai kata kubur nak dipindahkan ke kawasan lain nanti.

“Bahan itu pun emak yang beli dengan kakak, saya jadi tukang cangkul tanah dan bantu pasang saja… tak lama pun kerja pasang kepok dan rumput permaidani seperti dalam video itu kerana siap dalam 15 minit saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, niatnya memuat naik video di TikTok adakah sekadar mencipta kenangan dengan ibu di pusara bapanya.

Tanpa disangka, video itu mendapat perhatian ramai hingga meraih lebih 520,000 tontonan.

“Ada baca beberapa komen dan sebagai anak, saya bersyukur kerana ramai doakan abah.

“Rindu dengan abah itu sudah tentu kerana saya pun rapat dengan arwah tapi saya sudah reda dengan pemergiannya.

“Alhamdulillah, emak pun sudah boleh terima walaupun lebih terkesan kerana dia isteri dan sudah hilang teman hidup,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top