Khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar maut ditikam

Khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar maut ditikam

PARIT BUNTAR: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia memberi bantuan khidmat kaunseling kepada keluarga Nurfisya Zulkifly, 19, yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, Kelantan, Jumaat lalu.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, wakil JKM telah menziarahi dan menyantuni keluarga pelajar wanita tersebut baru-baru ini.

“Di pihak JKM, kita mempunyai pakar psikologi yang boleh memberikan kaunseling dan membantu keluarga untuk pulih daripada trauma berikutan peristiwa tragis yang menimpa mangsa.

“Saya faham bahawa kejadian ini bukan sesuatu yang mudah untuk diterima dan pastinya keluarga turut terkesan apabila kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata dan dalam situasi di luar jangka,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan Kad Perak Sejahtera kepada 29 penerima bagi daerah Kerian di Mydin Parit Buntar, di sini hari ini.

Menurut Salbiah, kerajaan negeri menzahirkan rasa simpati kepada keluarga pelajar terbabit dan mengharapkan mereka terus tabah serta segera pulih daripada ujian dan trauma yang dihadapi.

“Di bawah portfolio saya, kita mula memberi fokus kepada program pengurusan emosi dan seumpamanya bagi membantu mengelakkan situasi hilang kawalan emosi.

“Difahamkan semalam, Datuk Mohd. Zolkafly selaku exco kerajaan negeri dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Lintang telah menyantuni keluarga mangsa (di Karai),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibunuh sebelum dibuang di kawasan sawah padi di Kampung Simah, Ketereh sekitar pukul 12.30 tengah malam, Jumaat lalu.

Berdasarkan pemeriksaan pasukan forensik, terdapat 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa bermula dari bahagian muka sehingga kaki.

Susulan kejadian itu, empat individu iaitu tiga lelaki berusia antara 19 hingga 66 tahun serta seorang wanita berusia 60 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dua warga emas iaitu pasangan suami isteri yang dipercayai ibu bapa kepada salah seorang bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis. – UTUSAN

Scroll to Top