syafil.syazwan@hmetro.com.my
Shah Alam: Jenazah pelakon veteran Allahyarham Jalil Hamid, 69, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, pada jam 6.30 petang, hari ini.
Pengebumian berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 300 individu, termasuk ahli keluarga, rakan-rakan artis dan kenalan terdekat bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Terdahulu, jenazah Allahyarham diuruskan dan disolatkan di Masjid Al-Munawwarah, di sini sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Antara rakan artis dan penggiat seni yang hadir ialah Datuk Ahmad Tarmimi, Datuk Hattan, Datuk M Nasir, Nabil Ahmad, Sabri Yunus, Abon, Tam Spider, Azrul Raja Lawak, Datuk Afdlin Shauki serta beberapa individu yang pernah bekerjasama dengan arwah dalam dunia seni.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Allahyarham Jalil dilaporkan meninggal dunia dalam tidur pada tengah hari tadi sekitar jam 12.30 tengah hari di kediamannya di Taman Alam Megah, di sini.
Berita pemergian itu dimaklumkan anak kelimanya, Afiqah Jalil, 33, menerusi hantaran di Instagram.
Allahyarham Jalil meninggalkan seorang balu, Hayati Sariat, 62, dan enam cahaya mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




