harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan insiden membawa dan menyebat patung menyerupai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan di Dataran Merdeka, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, insiden itu turut dirakam dan dimuat naik ke media sosial oleh pihak tertentu.
“Dua lelaki warga tempatan itu berusia 21 tahun dan 47 tahun.
“Selain itu, peralatan komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik dan menghantar maklumat berkaitan insiden turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, permohonan reman ke atas kedua-dua suspek terbabit akan dibuat secepat mungkin.
Katanya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“PDRM menasihati orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan tidak menggunakannya sebagai alat berkecenderungan menghasut sehingga boleh mencetuskan ketidakharmonian dan menjejaskan ketenteraman awam.
“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengganggu ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




