razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Dataran Merdeka perlu terus dihidupkan dengan pelbagai program yang mampu menghimpunkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, usaha menghidupkan kawasan bersejarah itu penting bagi memastikan pelaburan kerajaan menaik taraf bangunan warisan di sekitar pusat bandar memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kerajaan Persekutuan telah melaburkan sejumlah besar dana untuk menaik taraf Bangunan Sultan Abdul Samad serta bangunan-bangunan warisan lain di sekitarnya.
“Namun, bangunan-bangunan ini tidak akan membawa sebarang makna jika tiada masyarakat yang meraikannya, menghargai warisan yang kaya yang kita miliki serta potensi besar yang ditawarkan oleh bandar raya ini,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup Kuala Lumpur Festival 2026 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Hannah turut mengumumkan Asian Music Games Kuala Lumpur 2026 yang akan berlangsung pada September ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed.
Beliau berkata, Dataran Merdeka adalah milik rakyat Malaysia dan berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Think City akan terus menganjurkan pelbagai program yang dapat menghimpunkan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk memanfaatkan ruang ini.
“Sama ada dalam bidang seni, budaya, sukan, pendidikan atau apa jua aktiviti sekalipun, ruang ini adalah milik anda semua,” katanya.
Mengulas mengenai program malam ini, Dataran Merdeka meriah dan hidup dengan kehadiran serta sokongan anda semua.
“Oleh itu, anda semua wajar diberikan tepukan gemuruh sebagai tanda penghargaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap individu yang datang dari dekat mahupun jauh untuk bersama-sama hadir pada hari ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




