am@hmetro.com.my
Butterworth : Penahanan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta di kawasan Perai, di sini, Sabtu lalu membawa kepada penemuan lebih 50 kilogram (kg) daun kering dipercayai dadah ganja.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata dua lelaki warga tempatan berusia 45 dan 59 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Narkotik Bukit Aman.
“Hasil pemeriksaan terhadap kereta dinaiki kedua-dua lelaki berkenaan menjumpai 50 ketulan mampat balutan plastik lut sinar di dalamnya berisi daun kering disyaki dadah ganja seberat 51,180 gram (g).
“Kesemua dadah dengan nilai anggaran RM158,658 itu kemudian dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Helmi berkata, hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah.
“Semakan mendapati mereka berdua mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.
“Tangkapan kini direman selama tujuh hari hingga 17 Mei ini untuk membantu siasatan,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd

